CaRi Kt SiNi

Monday 4 July 2011

Keharmonian Rumah Tangga

4 perkara capai keharmonian rumah tangga


BAGI kehidupan sebuah keluarga bahagia dan harmoni, perasaan atau emosi suami isteri perlu sebati. Untuk mencapai tahap kesebatian emosi, kedua-duanya perlu hidup dalam suasana diliputi cinta, kasih-sayang, saling memahami dan bekerjasama dalam erti kata sebenarnya.
Kejernihan hubungan ini tidak harus dirosakkan atau dicemari sesuatu perkara pun, malahan tiada perkara yang harus menimbulkan kegelisahan mana-mana pihak.
Aspek pergaulan antara suami isteri, ibu bapa dan anak serta adik-beradik sama penting dengan asas pembentukan rumah tangga harmoni.
Oleh itu, aspek ini perlu diberi perhatian serius setiap pasangan suami isteri dan sesiapa saja yang ingin memasuki alam rumah tangga.
Untuk mencapai kebahagiaan hidup berkeluarga dan kecemerlangannya, pergaulan antara anggota keluarga, terutama suami isteri, perlu diliputi empat unsur iaitu cinta atau kasih sayang, saling memahami, kerjasama dan keikhlasan.
Sifat saling menyintai antara satu sama lain adalah suatu unsur yang suci dalam pergaulan suami isteri.
Cinta yang dimaksudkan bukan kata-kata manis yang hanya sedap didengar diucapkan oleh lidah tetapi cinta sebenar mempunyai makna lebih mendalam dan luhur tertanam di lubuk hati.
Ia juga digambarkan dengan layanan serta pergaulan yang baik lagi mesra kerana tanpa cinta sejati tiada persefahaman, kerjasama dan keikhlasan. Malah, tanpa cinta, perasaan keseronokan, keceriaan dan kebahagiaan sama sekali tidak muncul.
Selain itu, dalam usaha mewujudkan persefahaman dalam rumah tangga, pasangan suami isteri tidak perlu bersusah payah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak, cuma menggunakan akal dikurniakan Allah, di samping bersopan dalam tutur kata dan tindak tanduk.
Mungkin ada masalah tertentu terpaksa dihadapi sesebuah keluarga atau berlaku perkara tidak diduga. Tetapi dengan persefahaman antara anggota keluarga segala masalah akan dapat diatasi dengan baik.
Demikian juga, sikap saling memahami antara satu sama lain, dapat mengelak rasa curiga dan prasangka yang puncanya selalu tidak jelas.
Sebuah rumah tangga tidak boleh ditegakkan dengan jaya jika anggotanya tidak menunaikan tugas atau tanggungjawab masing-masing dengan sempurna.
Suami isteri perlu saling bantu-membantu untuk membahagiakan keluarga. Suami yang baik tidak akan membiarkan isterinya bertungkus-lumus bekerja di rumah, sedangkan dia tidak membuat apa-apa kerja.
Begitu juga isteri yang memiliki harta banyak tetapi sedikitpun tidak mahu menyumbang untuk kebahagiaan keluarga.
Suami isteri yang demikian adalah bersifat ‘keakuan’, tidak sesuai dengan kehidupan rumah tangga yang ingin mencapai kecemerlangan dan kebahagiaan.
Sikap seperti ini juga merosakkan kemesraan pergaulan suami isteri dan anggota lain dalam keluarga.
Dalam usaha membina sebuah keluarga bahagia, suami isteri semestinya memiliki sifat ikhlas dan jujur, sebagai teras kepada unsur lain kerana tanpa kedua sifat itu boleh mendedahkan keluarga kepada akibat buruk.
Rumah tangga akan kerap dilanda pergolakan dan perselisihan faham menyebabkan terhakisnya keadaan tenteram serta tenang yang membawa kebahagiaan kepada keluarga.
Firman Allah yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara mu rasa kasih-sayang. Sesungguhnya pada yang sedemikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21).
Jika empat perkara yang disebut dan dibincangkan dapat direalisasikan dalam pergaulan suami isteri dan ahli keluarga lain, ikatan serta hubungan kekeluargaan semakin kukuh. Seterusnya kehidupan berkeluarga itu menjadi mantap, ceria dan bahagia.

INFO
  4 perkara keluarga bahagia

  1. Sifat saling menyintai antara satu sama lain adalah unsur suci dalam pergaulan suami isteri. Cinta sebenar mempunyai makna lebih mendalam dan luhur tertanam di lubuk hati.
  2. Pasangan suami isteri perlu persefahaman menggunakan akal dikurniakan Allah, di samping bersopan dalam tutur kata dan tindak tanduk. Sikap saling memahami dapat mengelak rasa curiga dan prasangka.
  3. Suami isteri perlu saling bantu-membantu untuk membahagiakan keluarga. Suami isteri bersifat ‘keakuan’, tidak sesuai dengan kehidupan rumah tangga.
  4. Suami isteri semestinya memiliki sifat ikhlas dan jujur, sebagai teras kepada unsur lain kerana tanpa kedua sifat itu boleh mendedahkan kepada akibat buruk.

0 comments:

CoPyRiGhT©2010-2011All Right Reserved By MaMaLyNn