CaRi Kt SiNi

Tuesday 28 June 2011

Antara masaalah kesihatan yang memalukan kaum wanita


ANDA tidak bersendirian. Umumnya, jutaan wanita di muka bumi ini hidup dengan rasa malu kerana masalah pembuangan air kecil yang kerap, peluh berlebihan, faraj berbau, angin dan beberapa masalah lain yang ‘sewaktu’ dengannya.

Mereka langsung tidak mahu berbincang mengenainya. Fikir mereka, ‘‘Biarlah ia menjadi rahsia diriku seorang.’’

Topik-topik yang ada kena-mengena dengan ‘tandas’ seperti terlalu kerap membuang air kecil, masalah pundi kencing, usus, datang bulan dan keputihan muncul keadaan yang paling memalukan kaum Hawa diikuti dengan masalah badan dan kemaluan berbau serta nafas yang kurang menyegarkan.

Bagaimanapun, menutup mulut tentang isu-isu ini tidak lebih daripada satu perbuatan yang merugikan kerana untuk pengetahuan anda, terdapat sekian banyak rawatan yang ditawarkan di luar sana.

Berikut digariskan enam masalah paling memalukan yang dihadapi oleh wanita. Turut dimuatkan alasan kenapa anda tidak perlu lagi berdiam diri berpeluk tubuh mengenainya. Kita mulakan dengan:

Kerap membuang air kecil

Tiada data yang dapat memberitahu jumlah sebenar wanita-wanita di negara ini yang menderitai masalah ini.

Bagaimanapun, sebagai perbandingan dengan negara yang selalunya dijadikan rujukan iaitu Amerika Syarikat (AS), ia mengganggu lebih 17 juta warga wanitanya.

Namun dengan jumlah sebesar itu, masih lagi mereka berasa gusar untuk ‘berbual-bual’ dengan doktor mengenainya.

Pada pendapat mereka, jika anda telah dilatih untuk menggunakan tandas sejak kecil lagi, kenapa pula anda tidak boleh mengawalnya kini?

Isu ini turut dilihat mempunyai kaitan dengan faktor penuaan dan pada dasarnya, jarang orang yang mahu mengaku tua.

Satu daripada tiga wanita yang mempunyai masalah tidak dapat mengawal kencing ini dikategorikan masih muda iaitu bawah 35 tahun.

Kebocoran kencing adalah sesuatu yang dianggap tidak normal dalam apa keadaan sekalipun jika anda telah dilatih untuk ke tandas.

Apa pun, berita baiknya terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk masalah ini. Kewajipannya terpulang kepada pesakit sendiri.

Jangan fikir doktor akan mengadili anda yang bukan-bukan. Malah, kemungkinan besar doktor tersebut boleh membantu.

Anda hanya perlu mengadakan temu janji dan berjumpa doktor. Kemudian katakan dengan yakin: ‘‘Saya mengalami masalah kebocoran kencing (tidak dapat mengawal kencing atau kerap membuang air kecil).’’

Tip pengurusan yang anda pandai-pandai lakukan sendiri di rumah ada ketikanya hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Misalnya, ada sesetengah wanita yang pundi kencingnya terlalu aktif ini mengambil keputusan untuk mengurangkan pengambilan cecair.

Logiknya ada di situ tetapi apa yang anda tidak tahu adalah, tindakan itu sebenarnya akan meningkatkan keradangan pundi kencing dan menyebabkan masalah menjadi bertambah serius.

Bilakah kekerapan membuang air kecil merupakan sesuatu yang normal? Jawapannya, menjelang tahun-tahun menopausal (putus haid).

Dalam keadaan ini, ubat- ubatan tertentu, pengubahsuaian pemakanan dan senaman kegel (kemut) berupaya membantu menguatkan otot- otot yang mengawal pengeluaran air kencing.

Kencing yang terlalu kerap juga boleh menjadi tanda penyakit-penyakit lain yang memerlukan penilaian ataupun akibat kesan sampingan ubat-ubatan yang anda sedang ambil.

Angin

Semua orang mempunyai angin di dalam badan mereka tetapi kebanyakan daripada kita enggan mengakuinya.

Mengakulah kepada doktor anda kerana angin selalunya berkait rapat dengan pemakanan. Ia juga boleh dirawat dengan pengubahsuaian makanan selain produk-produk yang banyak dijual di farmasi-farmasi sahaja.

Ada beberapa punca lagi yang boleh mencetuskan masalah angin dan bukannya setakat akibat memakan kekacang.

Anda mungkin terkejut apabila mendapat tahu bahawa minum menggunakan straw boleh menyebabkan angin di dalam usus dan perut. Begitu juga dengan sayur-sayuran yang mempunyai empat kelopak bunga seperti sawi.

Sindrom usus rengsa (IBS)

‘‘Gangguan ini mempamerkan gejala-gejala seperti sakit perut atau rasa tidak selesa di samping perubahan corak membuang air besar seperti sukar membuang air besar (sembelit) atau sebaliknya, terlalu kerap pula ke tandas (cirit-birit),’’ kata Pakar Perunding Perubatan, Hospital Kuala Terengganu, Terengganu, Datuk Dr. Ahmad Shukri Datuk Md. Salleh@Embat.

Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Yayasan Antarabangsa bagi Gangguan Fungsi Gastrousus yang berpangkalan di Milwaukee, Wisconsin, ia menjejaskan antara 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia.

Pesakit IBS mungkin berasa malu kerana mereka berasa berbeza daripada orang normal lain tetapi hakikatnya, ia merupakan satu gangguan yang sangat biasa di kalangan wanita khususnya.

Sekali lagi, terdapat banyak maklumat serta rawatan yang boleh membantu menjadikan hidup anda lebih terurus.

Malangnya, ramai wanita yang memilih untuk sengsara seorang diri sedangkan banyak lagi yang senasib dengan mereka sebenarnya.

Perpeluhan melampau

Ramai wanita yang berasa malu apabila merembeskan peluh yang melampau banyaknya tidak kiralah sama ada ia keluar menerusi tapak tangan atau ketiak. Mestilah malu, bukan?

Masalah ini perlu diperiksa oleh seorang doktor. Terdapat preskripsi nyahpeluh yang boleh digunakan dan dalam kes-kes yang ekstrem, suntikan Botox juga boleh menjadi penyelesaian bagi merawat tapak tangan, tapak kaki dan ketiak.

“Jika anda mendapati ada perbezaan dalam cara anda berpeluh atau ia menyusahkan sehingga anda tidak boleh melakukan aktiviti tertentu seperti orang lain ataupun ia menyebab kemurungan untuk menjalani kehidupan seharian, terdapat pilihan rawatan yang ada,’’ kata Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik, Jabatan Pembedahan Kardiotorasik, Institut Jantung Negara, Dr. Jeswant Dillon.

Kesihatan pernah menyiarkan artikel berkenaan rawatan ETS iaitu pembedahan kelenjar saraf simpatektomi torasik endoskopi bagi mengatasi masalah peluh berlebihan yang luar biasa di institut berkenaan.

Alat sulit berbau
Ini boleh menjadi tanda jangkitan tetapi tidak semestinya jangkitan yis, kata Pakar Estetik dan Antipenuaan, Alice Total Wellness, Bangsar, Kuala Lumpur, Dr. Alice Prethima Michael.

‘‘Sesetengah wanita terlebih mengguna pakai krim yis yang dibeli di kaunter farmasi dan terlepas untuk mendapatkan rawatan yang lebih sesuai dan tepat.

‘‘Sesetengahnya pula merasakan ia sekadar bau yang berbeza, tidak lebih dari itu. Keadaan ini boleh memberikan kesan terhadap imej tubuh atau perasaan mereka semasa melakukan hubungan kelamin,’’ katanya.
Pokok pangkalnya, berbincanglah dengan doktor anda.

Lemah keinginan syahwat

Wanita mungkin berasa terlalu segan untuk membawakan masalah kekurangan nafsu seks ini ke pengetahuan doktor tetapi ia sebenarnya boleh menjadi petunjuk kepada keseluruhan masalah yang ada.

‘‘Kekurangan libido mungkin disebabkan oleh masalah psikologi, biologi mahupun sosial. Jadi, ia memerlukan penyiasatan menyeluruh kesemua aspek bagi menentukan punca penyebabnya,’’ kata Pakar Sakit Tuan yang tidak asing lagi, Dr. Ismail Tambi.

Misalnya, seorang wanita mungkin terpaksa menjaga orang tuanya yang telah uzur dan banyak masanya diperuntukkan secara fizikal dan mental (emosi) sehinggakan tiada masa untuk seks (sosial).

‘‘Keinginan syahwat yang menurun mungkin ada kaitannya dengan kemurungan, kekhuatiran atau imej tubuh yang negatif (psikologi).

‘‘Isu-isu biologi seperti penyakit jantung dan diabetes atau ubat-ubatan yang menjejaskan rangsangan seks turut memainkan peranan di dalam masalah ini,’’ jelasnya.

0 comments:

CoPyRiGhT©2010-2011All Right Reserved By MaMaLyNn